Dalam dua tiga minggu ini ramai yang membincangkan perihal produk untuk menjadikan kulit putih melepak. Ada yang memberi kata-kata positif, tak kurang juga yang memberikan komentar menusuk jiwa. Di sini saya tidak mahu menambah sebarang komen positif mahupun negatif tehadap mana-mana produk. Saya cuma ingin mengajak kita mengimbau kembali lipatan sejarah.
Kenalkah kita dengan Sayidina Bilal bin Rabah r.a.? Muazzin Rasulullah ini merupakan seorang yang berkulit hitam legam. Malah beliau pernah digelar dengan gelaran ibnu Sauda'. Suara beliau juga dicatatkan dalam sejarah tidaklah semerdu mana. Hingga dikatakan sebutan huruf 'shin' beliau juga tidak sempurna. Namun azan yang dilaungkannya dapat didengar oleh penghuni langit. Penghuni langit tidak menilai pada rupa dan warna kulit beliau. Sekalipun di zamannya itu ada lagi insan lain yang punya suara yang jauh lebih merdu. Tetapi suara beliau sampai hingga ke langit hanya kerana keikhlasan hati dan ketaqwaan beliau kepada Allah SWT.
Bagaimana pula dengan sahabat yang bernama Sa'ad al-Sulami? Tahukah kita akan beliau? Sa'ad ini pernah mendatangi Rasulullah dan bertanyakan apakah seseorang boleh terhalang daripada memasuki syurga disebabkan muka yang hitam dan hodoh. Rasulullah menidakkannya. Lalu beliau mengadu kepada Rasulullah bahawa tidak ada yang ingin menerima pinangan beliau kerana hodoh dan hitamnya wajah beliau. Lantas Rasulullah meminta beliau untuk meminang anak perempuan Amru bin Wahab dari suku Tsaqief yang terkenal cantik dan cerdik bernama Atiqah. Pinangan Sa'ad sekali lagi ditolak oleh Amru sehinggalah Amru didesak oleh Atiqah sendiri yang mahu menerimanya kerana yakin itulah yang diredha-kan Allah dan Rasul-nya.
Namun belum sempat beliau bersatu dengan Atiqah, panggilan jihad memanggil dan Sa'ad terus menyahutnya. Sa'ad gugur syahid dalam medan juang tersebut dan Rasulullah SAW sempat meletakkan beliau atas pangkuannya. Saat itu para sahabat memerhatikan Rasulullah SAW yang pada mulanya menangis diikuti dengan tawa dan seterusnya Rasulullah memalingkan muka. Para sahabat lantas bertanya akan perlakuan Rasulullah SAW itu. Rasulullah SAW menerangkan beliau menangis kerana merindui Sa'ad. Beliau kemudiannya tertawa kerana melihat kemuliaan yang Allah kurniakan kepada Sa'ad. Manakala Rasulullah seterusnya memalingkan muka kerana melihat bakal isteri Sa'ad yang terdiri daripada bidadari syurga berebut-rebut untuk mendekati Sa'ad sehingga terlihat betis mereka. Pada saat itu Rasulullah memaklumi Amru "Allah mengahwinkan Sa'ad dengan bidadari yang lebih cantik daripada puteri kamu".

Nyata wajah yang putih dan cantik belum menjanjikan apa-apa melainkan bakal mendapat siksaan yang amat pedih sekiranya wajah putih dan cantik itu milik insan yang hatinya kufur dan sering melanggar perintah Allah. seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
"Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian daripada api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,." (Surah al-Hajj, 22: 19)
"Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka. Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!" (Surah al-Hajj, 22: 20-22)
Jadi, janganlah leka dengan produk memutihkan wajah semata. Marilah kita sungguh-sungguh memutihkan yakni menjaga hati kita sehingga hati kita layak digelar qalbun saleem.