Hari ini bermulalah tinta dalam blog ini. Blog ini dimulakan pada asasnya untuk meluah rasa dan ilmu. Moga juga blog ini dapat menjadi penajam upaya menulis yang bertinta. Penulisan amat penting. Bak kata orang banyak: "Mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang". Kalau pedang itu diumpamakan oleh Sayyidina Ali karamallahu wajhah bak masa - kiranya ia tidak dipenggal maka ia akan memenggal. Dan sekiranya mata pena dikatakan jauh lebih dahsyat daripada mata pedang tentunya mata pena ini tidak disangkal lagi "powerful"nya.
Dari mata pena lahirlah pernyataan. Dari pernyataan lahirlah pula lembaran. Dari lembaran lahirlah buku ataupun kitab. Kitab merupakan warisan utama ilmu para cendekiawan Islam silam. Tentang ini Syeikh Nuruddin al-Raniri mengatakan - "Sumbangan abadi yang dapat diberikan seseorang ialah menulis buku / kitab kerana buku / kitab dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia lupus.
Moga, sekalipun yang bertinta tak upaya menghasilkan kita bak Ihya' Ulumuddin atau al-Umm, moga sekelumit usaha yang cuba ditumpahkan menerusi blog ini mendapat perkiraan Allah. Bak sang pipit yang membawa air yang sekelumit cuma dalam paruh kecilnya untuk memadam api Namrud yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Begitulah juga diharapkan agar luahan ilmu dan rasa dalam blog ini dapat memberi manfaat pada umat. Sekurang-kurangnya apabila ditanya oleh Allah Rabbul Jalil, apa yang telah kamu lakukan untuk umat Islam - yang bertinta punya sedikit amal usaha untuk dihadapkan. Ameen.
No comments:
Post a Comment