Monday, 19 January 2015

HARTA TAK TERNILAI


Anak adalah penyeri rumahtangga, permata hati insan. Tanpanya rumah yang besar pun tiada erti. Harta yang banyak tidak boleh diwarisi. Hati boleh jadi sunyi dan sepi. Biar berapa banyak haiwan belaan ataupun boneka didapatkan masih tidak dapat menggantikan keriuhan, keriangan dan kebahagiaan mempunyai anak dari zuriat sendiri.

Namun hari ini kita lihat manusia sudah jauh dari fitrah murni. Anak kurniaan Ilahi diperlaku dengan kejam sekali. Ada yang membunuh mereka, mendera semahu-mahunya, menidakkan keperluan asasi makan minum mereka dan menafikan kasih dan sayang buat mereka. Untuk insan-insan tak berperi kemanusiaan ini, ada persoalan yang ingin dilontarkan:

1. Siapakah kita yang berhak mempermain-mainkan nyawa makhluk lain yang darjatnya ahli syurga, amanah Allah buat kita? Tuhankah kita?

2. Firaun dahulu membunuh anak-anak lelaki kerana takut dijatuhkan dari takhtanya, masyarakat Arab Jahiliah pula membunuh dan menguburkan hidup-hidup bayi perempuan kerana takut dimalukan. Manusia-manusia yang menzalimi anak-anak pada masa kini bagaimana pula? Apakah setara kekejaman dengan Firaun dan masyarakat Jahiliah atau lebih hina lagi?

3. Rasulullah ada bersabda bahawa baginda berbanga dengan umat yang ramai. Jadi, siapakah kita yang berhak mengapa-apakan kebanggaan Rasulullah SAW ini? Layakkah pula kita menggenggam gelaran umat Rasulullah?

4. Sekiranya kita pernah dikejami, dianiayai, disakiti dan dinafikan hak suatu ketika dahulu, mengapa pula harus kita membalasnya kepada insan lain yang tidak berdaya? Apakah kita lebih suka memilih untuk menjadi penyambung perjalanan tabiat kemungkaran daripada menghentikannya? Apakah hak kita untuk melakukan pembalasan terhadap insan yang tidak bersalah dan terlalu kecil mengenal erti apa-apa dalam kehidupan?

5. Sekiranya apa yang diperlakukan terhadap anak-anak tersebut diperlakukan pula kepada kita, bagaimanakah perasaan kita? Mampukah kita bertahan dengan penderaan sebegitu? Ditambah pula apabila mulut kita dikunci daripada boleh mengadu domba seumpama anak-anak yang tidak mampu melahirkan rasa dan kisah mereka dalam tutur kata yang mampu difahami?

Banyak lagi persoalan yang boleh dilontarkan. Bagi yang berkenaan, fikirlah dengan hati sebelum meluahkan jawapan.

No comments:

Post a Comment